 |
| Pikom PC Fair |
Dunia kini
sedang berada di dalam era teknologi komunikasi dan maklumat. Justeru, kerajaan
telah menggalakkan rakyat Malaysia memiliki komputer serta mempelajari ICT
agar kita tidak ketinggalan dengan teknologinya malah dapat sama-sama bersaing
dengan semua negara maju. Bagi memenuhi hasrat kerajaan, kita telah diberi
kemudahan pengeluaran simpanan KWSP untuk memiliki komputer peribadi (PC).
Malah ia dimudahkan lagi apabila Pos Malaysia Berhad juga memberikan perkhidmatan
membeli komputer melaluinya. Bagi memastikan kebaikan dan kemudahan sendiri,
kita harus bijak memilihnya kerana ianya mempunyai pelbagai perkara yang perlu
diteliti sebelum memilikinya.
Perkara pertama
yang perlu diteliti ialah keperluan PC itu dibeli. Biasanya, PC dibeli untuk
tujuan kerja-kerja ringan dan berat. Bagi pelajar kursus-kursus pengurusan,
perakaunan, ekonomi, pendidikan, kerja sosial dan lain-lain lagi serta bagi
pekerja di pejabat, memadai jika mereka memilih spesifikasi PC yang sederhana
sahaja kerana keupayaan yang diperlukan hanyalah untuk menaip tugasan dan
sebagainya di samping mendengar lagu MP3, menonton VCD dan bermain game.
Tetapi bagi mereka yang berada di dalam bidang IT, Multimedia, pengkomputeran
dan kejuruteraan, mereka perlu memiliki PC yang berkeupayaan tinggi untuk
tugas-tugas berat seperti pengaturcaraan, mengedit grafik, membuat animasi,
mengedit video dan sebagainya.
Perkara kedua
yang perlu difikirkan ialah kemampuan kewangan kita. Bagi mereka yang hanya
memerlukan spesifikasi PC yang sederhana tetapi berkemampuan untuk membeli
PC berkeupayaan tinggi, maka memilih PC berkeupayaan tinggi adalah lebih baik
untuk kepuasan dan kepantasan. Tetapi bagi mereka yang tidak berapa berkemampuan
adalah lebih baik mereka membeli PC berkeupayaan rendah atau sederhana yang
mana ianya boleh ditingkat upaya apabila berkemampuan kelak.
Seterusnya, kita perlu menentukan PC yang terbaik bagi keperluan kita. Terdapat
pelbagai jenis PC daripada yang termurah kira-kira RM2500 hinggalah yang termahal
bernilai RM9500 di pasaran. PC yang boleh dipilih dibahagikan kepada tiga
iaitu PC serasi IBM atau popular dengan gelaran PC klon, PC jenama seperti
Mac daripada Apple, Compac, Intellitech dan banyak lagi serta PC pasang
sendiri, di mana komponen-komponen komputer dibeli berasingan dan dipasang
sendiri oleh pembeli.
Bagi saya, PC yang terbaik untuk dipilih adalah PC klon, kerana ianya lebih
murah, mudah ditingkat upaya serta mempunyai keupayaan yang sama seperti komputer-komputer
jenama. PC jenama pula mahal, sukar ditingkat upaya dan terdapat yang tidak
mempunyai kebolehan menambah perkakasan yang daripada lain seperti kad grafik,
kad bunyi, pencetak, pengimbas dan kamera web. Ianya hanya membenarkan perkakasan
dan komponen daripada jenama yang sama seperti komputer keluaran Apple iaitu
Apple G4. Walaubagaimana pun, PC jenama mempunyai kemudahan jaminan, baikpulih,
mudah dihubungi serta tidak mudah rosak. Pemasangan sendiri PC pula amat
sukar bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi di dalam dunia
pengkomputeran kerana ianya memerlukan kemahiran bukan sahaja di dalam memasang
tetapi mengkaji keserasian komponen serta mendapatkan komponen-komponen daripada
pembekal.
Untuk memilih PC, kita perlu mengumpulkan seberapa banyak maklumat daripada
peniaga-peniaga PC. Bandingkan harga yang ditawarkan, keupayaannya serta kemudahan
yang ditawarkan seperti jaminan, baikpulih dan kemudahan hubungan. Terdapat
peniaga yang menawarkan pelbagai perkara seperti perkakasan percuma, akaun
internet, bayaran ansuran. Namun, kita perlu berhati-hati dengan mereka kerana
kemungkinan penipuan boleh berlaku, lebih-lebih lagi jika memilih PC klon.
Oleh itu, kita perlu memberikan seberapa banyak pertanyaan kepada peniaga
terbabit sebelum membeli PCnya. Mintalah bantuan daripada rakan-rakan yang
pernah membeli PC. Semoga pilihan anda menepati keperluan dan kehendak anda.